10 penternak akuakultur Jelebu terima bantuan lebih RM130,000

Iklan
Kasim (kanan) menyampaikan bantuan SPeKS akuakultur Jelebu pada Rabu.

JELEBU - Seramai 10 penternak akuakultur di daerah ini menerima bantuan berjumlah lebih RM130,000 di bawah Program Sistem Penyampaian Khidmat Sokongan (SPeKS) Akuakultur bagi tahun ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe berkata, ia merupakan sebahagian daripada peruntukan RM264,522 yang disediakan untuk program tersebut di negeri ini membabitkan 21 penternak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bantuan yang disalurkan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dan jabatan berkenaan dalam memperkasakan sektor perikanan air tawar, khususnya di kawasan luar bandar.

"Peruntukan ini amat bermakna kerana mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk membantu golongan penternak.

Iklan

"Ia bukan sahaja meringankan beban mereka, malah diharap dapat meningkatkan produktiviti, menambah pendapatan dan memperkukuh daya saing sektor akuakultur,” katanya pada majlis penyerahan bantuan berkenaan pada Rabu.

Tambahnya, program itu juga merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam keterjaminan makanan negara, khususnya bagi program ikan air tawar yang semakin mendapat permintaan tinggi.

Iklan

"Jabatan Perikanan juga bersedia memberikan bimbingan teknikal dan khidmat nasihat kepada penternak agar setiap usaha yang dijalankan mampu memberi hasil yang maksimum dan mampan,” katanya.

Beliau berkata, bantuan yang diterima perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima bagi memperkasa perusahaan masing-masing.

Selain itu, ia diharap menjadi pemangkin untuk terus maju ke hadapan serta menjadikan bidang akuakultur sebagai kerjaya yang stabil dan menguntungkan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pengeluaran ikan air tawar di Negeri Sembilan bagi tahun 2024 adalah sebanyak 5,645.85 tan metrik, manakala bagi tahun 2025 setakat April lalu mencatatkan pengeluaran sebanyak 1,876.78 tan metrik.