GEORGE TOWN - Sekumpulan penjenayah berjaya meloloskan diri selepas lebih 60 kilometer (km) dikejar polis apabila dikesan terlibat dalam aktiviti mencuri kabel elektrik di Flat Taman Nusantara, di sini awal pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian curi kabel tersebut kira-kira jam 3.44 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, menyedari kehadiran anggota polis, kumpulan penjenayah itu bertindak melarikan diri dengan menaiki sebuah pikap menghala ke Lebuhraya Tun Lim Chong Eu.
"Kereta peronda polis (MPV) yang mengesan kenderaan suspek telah mengejar mereka bermula dari susur masuk Jambatan Pertama Pulau Pinang menghala ke Seberang Perai.
"Seterusnya, kenderaan suspek menuju ke Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke utara dan MPV cuba memberhentikan kenderaan suspek, namun mereka masih enggan mematuhi arahan polis," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Abdul Rozak berkata, selepas lebih 60 km dikejar, kenderaan suspek akhirnya terbabas ke dalam parit berhampiran kawasan perumahan Permata Hill Park, Bedong, di Sungai Petani.
Katanya, suspek kemudiannya keluar dari kenderaan dan melarikan diri ke dalam kawasan hutan berdekatan.
"Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan suspek mendapati terdapat alat pemotong kabel dan beberapa batang kabel yang telah dipotong di bahagian belakang kenderaan.
"Polis kini sedang giat mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya.