Kerajaan tubuh JTKS, selaras usaha tingkatkan tata kelola - PM

Iklan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Tatakelola Kabinet di Putrajaya pada Selasa. Gambar Ihsan Pejabat Perdana Menteri.

SHAH ALAM - Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) pada Selasa bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Ketakteraturan Serius (JTKS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penubuhan JTKS itu bertujuan memastikan tindakan susulan yang lebih holistik, bersasar dan berimpak tinggi dapat dilaksanakan selaras dengan prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan dan integriti.

Iklan
Iklan

"Sewaktu saya mempengerusikan Mesyuarat JKKTN hari ini, perhatian serius diberikan terhadap penemuan audit berkaitan ketakteraturan kewangan yang berpotensi menjejaskan kredibiliti pengurusan fiskal negara.

"Sehubungan itu dan selari dengan pengukuhan peranan Jabatan Audit Negara melalui pindaan kepada Akta Audit 1957, mesyuarat bersetuju untuk menubuhkan JTKS.

Iklan

"Penubuhan JTKS ini bertujuan memastikan tindakan susulan yang lebih holistik, bersasar dan berimpak tinggi dapat dilaksanakan selaras dengan prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan dan integriti,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun Facebooknya pada Selasa.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki.

Iklan