KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki warga Taiwan maut selepas dipercayai terjatuh ke landasan Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen Pusat Bandar Puchong petang ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada 6.05 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya dikerah ke lokasi kejadian.
"Setibanya anggota di lokasi, terdapat seorang lelaki lingkungan umur 60 tahun berada di bawah LRT dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disyaki telah meninggal dunia,” menurutnya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, operasi mengeluarkan mangsa sedang dijalankan melibatkan tujuh anggota dan sebuah jentera Fire Rescue Tender.
Susulan kejadian itu, perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan di empat stesen Laluan Ampang/Sri Petaling tergendala.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) berkata, tren dari arah Putra Heights hanya beroperasi hingga Stesen Puchong Perdana, manakala tren dari arah Sentul Timur berpatah balik di Stesen Kinrara BK5.
"Perkhidmatan tren dihentikan sementara di Stesen Bandar Puteri, Taman Perindustrian Puchong, Pusat Bandar Puchong dan IOI Puchong Jaya.
"Sebagai alternatif, perkhidmatan bas perantara percuma diaktifkan antara Stesen Puchong Perdana dan Stesen Kinrara BK5," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Bagaimanapun, Rapid Rail berkata, kerja-kerja menyelamatkan mangsa kejadian telah selesai dijalankan.
"Tren dan bas alternatif akan ditamatkan. Kekerapan sedang diselaraskan dan operasi tren akan kembali seperti biasa sebentar lagi.
"Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami dan kami menghargai kesabaran anda," katanya.