BUKIT MERTAJAM - Niat ratusan warga asing untuk bersantai di pusat membeli-belah di sini sempena cuti umum pada Isnin terbantut apabila diserbu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang.
Serbuan Ops Kutip yang dilakukan bermula jam 12 tengah hari itu memeriksa seramai 577 warga asing yang berada di sekitar pusat beli-belah terbabit.
Sumber JIM Pulau Pinang memberitahu, terdapat beberapa warga asing cuba bertindak meloloskan diri apabila menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.
Bagaimanapun katanya usaha mereka ternyata sia-sia apabila kawasan pusat membeli belah itu terlebih dahulu dikepung oleh pasukan serbuan.
"Hasil pemeriksaan dibuat kita berjaya menangkap 49 orang atas pelbagai kesalahan imigresen.
"Mereka terdiri daripada 42 lelaki, enam wanita serta seorang kanak-kanak yang dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan sah,menyalahgunakan pas lawatan dan tinggal lebih masa," katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, semua tahanan telah dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Juru untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Tegasnya, JIM Pulau Pinang tidak akan berkompromi dengan warga asing yang melakukan kesalahan seperti tidak mempunyai dokumen atau pas yang sah; tinggal lebih masa daripada tempoh pas atau permit yang dibenarkan serta melanggar syarat-syarat pas dikeluarkan.
"Pihak majikan juga diberi amaran keras supaya tidak menggajikan pendatang asing tanpa izin atau kerana tindakan undang-undang bakal dikenakan ke atas mereka," ujarnya.