MACHANG – Cuaca panas yang melanda Kelantan ketika ini memaksa penduduk menambah penggunaan kipas bagi mengurangkan bahang terutama pada waktu tengah hari.
Seorang peniaga, Akidi Mat Jusoh, 49, berkata, kipas siling di rumahnya di Pulai Chondong tidak lagi mampu menampung suhu panas yang melampau khususnya pada waktu siang.
Menurutnya, pada Isnin suhu di daerah itu mencecah 35 darjah Celsius manakala pada petang Selasa suhu sekitar 32 darjah Celsius.
"Rumah saya jenis batu dan apabila cuaca panas terik, kipas siling pun rasa macam tiada angin. Sekarang saya tambah dua kipas berdiri di ruang tamu.
"Pada jam 10 pagi pun dah mula rasa bahang, kadang-kadang berpeluh walaupun duduk dalam rumah. Malam pun tidur tak lena sebab masih rasa panas,” katanya kepada Sinar Harian.
Situasi sama turut dirasai penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Muhammad Nabil Anuar, 22, yang terpaksa menggunakan wang pinjaman pendidikan sebanyak RM139 untuk membeli kipas berdiri bagi kegunaan di bilik asrama.
"Kami bertiga dalam satu bilik dan tiada penyaman udara. Jadi saya beli kipas sendiri dan letak dekat dengan kepala katil.
"Waktu malam pun masih rasa panas, jadi kipas tambahan ini pun belum cukup sebenarnya,” ujar penuntut jurusan Keusahawanan Pelancongan itu.
Sementara itu, Muhammad Irman Syah, 22, pula berkata, dia kini mandi lebih lima kali sehari untuk menyejukkan badan, terutama apabila sukar tidur pada waktu malam.
"Kalau tak mandi tengah malam, memang tak boleh lena.
"Kadang-kadang bangun banyak kali semata-mata nak pergi mandi,” katanya.
Seorang lagi penuntut UMK, Erison Egun, 22, berkata, latihan Kor Sukarelawan Polis Siswa (Suksis) yang dihadirinya dua kali seminggu kini dipendekkan bagi menjaga kesihatan peserta.
"Biasanya latihan kawad sampai jam 4 petang, tapi baru-baru ini cuma sampai 11.45 pagi sahaja.
"Bila berdiri bawah panas terlalu lama, kepala boleh pening dan badan cepat lesu,” ujar pelajar jurusan Keusahawanan Hospitaliti itu.
Setakat ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan bahawa enam daerah di tiga negeri Semenanjung berada pada Tahap 1 (Jaga-jaga), apabila suhu maksimum harian dicatat antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.