Hormat keputusan Rafizi - Ketua AMK

Iklan
Laporan Sinar Harian berkaitan Rafizi tolak tawaran Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden PKR lantikan. Gambar kecil: Muhammad Kamil

SHAH ALAM - Keputusan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang menolak tawaran jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) lantikan yang dicadangkan Nurul Izzah Anwar perlu dihormati.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, Rafizi berkemungkinan mempunyai perancangan tersendiri untuk memperkukuhkan parti.

Iklan
Iklan

"Kita hormat keputusan Rafizi. Cuma kalau terima tawaran Nurul Izzah, itu bagus dalam usaha memperkukuhkan parti.

"Mungkin Rafizi ada platform lain yang difikirkan sesuai untuk terus membantu parti,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Sebelum ini, Rafizi mendedahkan beliau menerima tawaran jawatan Timbalan Presiden PKR lantikan dalam satu pertemuan bersama Timbalan Presiden PKR itu baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan akan terus berpegang kepada keputusannya untuk tidak menerima sebarang tawaran jawatan lantikan dalam PKR.

Iklan

Rafizi menjelaskan bahawa keputusan yang dibuat bukan soal jawatan, sebaliknya berpegang kepada prinsip perjuangan.

Justeru, beliau akan terus kekal sebagai ahli PKR kerana ia adalah satu tanggungjawab, di samping berkhidmat sebagai ahli Parlimen dan Ketua Cabang PKR Pandan bagi menunaikan mandat yang telah diberikan oleh pengundi.

Tambah Muhammad Kamil, Rafizi merupakan tokoh yang mempunyai kekuatan dan peranan tersendiri dalam PKR.

Dalam pada itu, Muhammad Kamil menjelaskan kuasa melantik dalam parti adalah hak Presiden namun perbincangan tetap dilakukan secara dalaman.