KUANTAN – Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) dilaporkan hilang disyaki mengikut seorang lelaki tidak dikenali ketika keluar dari sebuah pusat beli-belah di sini pada Ahad.
Kehilangan Norilyana Izzati Normazlan, 29, disedari ibu angkatnya (pengadu) berusia 51 tahun yang ketika itu menyertai acara jualan di pusat beli-belah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa yang mengalami masalah lembam sebelum itu difahamkan mengikut ibu angkatnya berniaga di situ sejak Jumaat lalu.
Menurutnya, pada hari kejadian, kali terakhir mangsa dilihat kira-kira jam 2 petang di sekitar pentas ruang legar pusat beli-belah itu.
"Mangsa dipercayai keluar bersama seorang lelaki yang tidak dikenali dengan berjalan kaki dan tidak pulang ke rumah.
"Usaha mencari dan mengesan mangsa dilakukan pengadu bersama rakan niaga, namun wanita itu gagal ditemui.
"Susulan kehilangan mangsa, ibu angkat pengadu tampil membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan wanita terbabit,” katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, mangsa bertubuh sederhana dan berketinggian kira-kira 1.5 meter.
"Kali terakhir wanita itu dilihat memakai baju paras lutut berwarna biru gelap dengan corak batik, seluar dan tudung hitam,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak wanita itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan atau mana-mana balai polis berdekatan.