SHAH ALAM – Pempengaruh media sosial seharusnya menggunakan platform yang dimiliki untuk menyedarkan masyarakat, terutama pelajar sekolah, tentang bahaya penggunaan vape dan bukannya menjadi duta mempromosikannya.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pada masa ini ramai pempengaruh menjadi duta yang mempromosikan vape sehingga menjadi ikutan remaja.
"Untuk mengelak hal itu, kita perlu mengajak pempengaruh media sosial menggunakan platform yang mereka miliki bukan untuk mempromosikan vape, tetapi untuk memberitahu betapa bahayanya kesan vape dalam kalangan pelajar sekolah.
"Selain itu, langkah paling praktikal dalam memerangi vape bermula dengan teguran terus daripada orang dewasa kepada golongan muda," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, selain ibu bapa juga perlu bersikap tegas terhadap anak-anak yang berjinak-jinak dengan vape, golongan masyarakat juga boleh memainkan peranan dengan memberi teguran secara terus sekiranya ternampak anak-anak menghisap vape di mana-mana kawasan.
"Dengan wujudnya teguran secara terus, anak-anak akan ada persepsi bahawa vape ialah perkara yang dibenci oleh masyarakat, sekali gus menjadikan trend itu dibenci dan dijauhi," ujarnya lagi.
Tambah beliau, usaha memerangi vape dalam kalangan pelajar sekolah juga seharusnya bermula dengan pengharaman penjualan vape kepada individu berusia 18 tahun ke bawah.
Menurutnya lagi, semua pihak harus berganding bahu memainkan peranan bagi memastikan generasi muda tidak dibelenggu dengan vape yang bukan sahaja sia-sia, malah boleh merosakkan masa hadapan.
"Meskipun pelbagai langkah boleh diambil untuk membendung isu tersebut, ia tidak akan berjaya sekiranya masyarakat bersikap sambil lewa.
"Beberapa kesan buruk vape telah dirasai oleh pelajar kita, termasuklah tidak sedarkan diri, ketagihan nikotin dan kerosakan organ dalaman," ujarnya lagi.
Justeru, Lam Thye menyarankan agar kempen kesedaran, tindakan tegas di sekolah, penglibatan ibu bapa serta pempengaruh media sosial dalam memerangi penggunaan vape terus diperhebatkan.
Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya menunjukkan teladan yang baik memandangkan anak-anak masih terlalu muda untuk membuat penilaian terhadap perkara baik dan buruk dalam hidup mereka.