USIANYA baru mencecah 22 tahun, namun gadis ini sudah mampu menggalas tanggungjawab besar mengendalikan bengkel automotif miliknya sejak lima tahun lalu.
Pemilik bengkel Pia Auto and Tyre, Sofea Nabila Saifonnizam berkata, semuanya bermula daripada minat mendalam terhadap enjin dan alat ganti apabila sering menemani ayahnya, Saifonnizam Md Zin, 47, ke bengkel yang terletak di Jalan Bypass, Kuantan, Pahang.
"Saya mula tolong ayah sejak sekolah. Kadang-kadang sambil bermain di bawah meja pun, saya sempat perhatikan cara ayah baiki motor di bawah pokok.
"Lama-kelamaan, saya jadi minat dan daripada situlah saya mula belajar asas membaiki kenderaan. Saya tekad nak buka perniagaan sendiri dan tak kisah langsung bergelumang dengan minyak hitam,” katanya kepada Sinar Harian di bengkel miliknya di Taman Seri Mahkota Aman, Jalan Gambang, Kuantan.
Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, kerana terlalu meminati dunia automotif, dia memilih melanjutkan pelajaran di GiatMara dengan memilih bidang tersebut sebagai persediaan merealisasikan impiannya.
Walaupun ada yang memandang rendah terhadap pilihannya kerana dikatakan tidak sesuai untuk wanita, namun Sofea Nabila yakin dengan keputusannya, apatah lagi dia mendapat sokongan penuh daripada keluarga.
"Dengan pengalaman di pusat latihan dan bimbingan daripada ayah menjadikan saya lebih yakin untuk menguruskan bengkel sendiri.
"Alhamdulillah, bila ada kemahiran sendiri, kita boleh lakukan sendiri tanpa bergantung 100 peratus kepada orang lain,” ujarnya yang kini mempunyai lapan orang pekerja.
Mesra bajet pelanggan
Menariknya, bengkel tersebut bukan sahaja dikunjungi pelanggan lelaki, malah turut mendapat kepercayaan golongan wanita yang lebih selesa berurusan dengannya.
Sofea Nabila berkata, kebanyakan pelanggannya bukan sahaja dari Pahang, malah ada juga dari Singapura, Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Selangor.
"Saya juga menawarkan perkhidmatan yang mesra bajet kepada pelanggan. Kalau pelanggan cakap bajet mereka ketat, saya bantu rundingkan alat ganti mengikut kemampuan. Yang penting kereta boleh jalan dan selamat,” katanya.
Bagi memastikan bengkelnya sentiasa relevan, Sofea Nabila juga mula aktif mempromosikan perniagaannya di media sosial termasuk TikTok dan Facebook.
Menurutnya, platform digital tersebut membantu memperkenalkan perniagaan kepada lebih ramai pelanggan, terutama dalam kalangan golongan muda.
"Kadangkala kami kongsi video kerja-kerja bengkel, tak sangka ramai yang komen dan datang ke bengkel,” katanya.
Perancangan masa depan
Ditanya mengenai perancangan masa depan, Sofea Nabila berhasrat membangunkan Pia Auto and Tyre sebagai pusat sehenti automotif dalam tempoh lima tahun akan datang.
Malah, gadis itu juga bercadang menambah perkhidmatan cat dan pendawaian kenderaan, selain mengekalkan pelbagai perkhidmatan penyelenggaraan serta pembaikan kenderaan seperti penukaran tayar, minyak pelincir, penyelenggaraan enjin, baik pulih enjin serta servis kotak gear.
"Saya nak bangunkan bengkel ini jadi lebih besar. Kalau boleh, saya mahu jadikan ia tempat latihan anak muda yang minat dalam bidang automotif, terutama wanita,” katanya.