ATLET boling negara, Muhammad Hafiz Zainuddin menjadikan Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur sebagai medan pemanas badan untuk menguji prestasi sebelum menghadapi cabaran lebih besar musim ini, termasuk sasaran utamanya di Terbuka Singapura yang bakal berlangsung pertengahan bulan ini.
Menurut Hafiz, kejohanan yang sedang berlangsung di pusat boling Sunway Mega Lanes itu bukan sekadar peluang untuk memburu kemenangan, malah menjadi platform penting untuk menilai tahap permainan dan memperkemas strategi.
"Terbuka Kuala Lumpur sedang berlangsung sekarang, jadi saya cuba sedaya upaya untuk capai keputusan terbaik.
"Kejohanan ini juga sangat penting sebagai persiapan awal untuk menghadapi Terbuka Singapura.
"Sudah tentu saya mahu berada di pentas podium di sana, insya-ALLAH,” katanya.
Anak jati Kuala Lumpur itu turut mencuri perhatian April lalu apabila muncul juara Kejohanan Antarabangsa Sonic di Singapura.
Ia merupakan gelaran kedua Hafiz bagi tahun ini, selepas kejayaannya menjuarai Kejohanan Boling Antarabangsa DIBC di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UA) pada Februari lalu.
Kejohanan Terbuka Singapura yang bakal menghimpunkan barisan pemain terbaik serantau dijadual berlangsung dari 9 hingga 14 Jun ini.