NANJING – [DIKEMAS KINI] Sebuah universiti ternama di China mencetuskan kontroversi dalam talian selepas mengiklankan kekosongan jawatan pengurus kantin yang mensyaratkan pemohon memiliki sekurang-kurangnya Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Menurut laporan South China Morning Post (SCMP), Universiti Southeast di Nanjing memuat naik iklan jawatan tersebut di laman web rasmi mereka pada 22 Mei lalu.
Selain tugas pengurusan harian, calon yang berjaya akan bertanggungjawab memastikan keselamatan makanan dan pembangunan menu hidangan.
Antara syarat lain termasuk penguasaan bahasa Inggeris, keutamaan kepada ahli Parti Komunis China serta mereka yang memiliki latar belakang dalam bidang berkaitan makanan atau sijil masakan.
Bagaimanapun, jawatan itu tidak memerlukan individu berkenaan untuk memasak sendiri.
Pengumuman itu mencetuskan pelbagai reaksi netizen, antaranya mempertikaikan kewajaran keperluan akademik setinggi itu bagi tugas yang dianggap asas.
Ada yang mendakwa syarat tersebut terlalu spesifik dan mungkin direka untuk seseorang calon tertentu yang telah dikenal pasti.
"Ia kelihatan seperti jawatan ini memang ditujukan kepada seseorang yang mempunyai hubungan dalaman,” kata seorang pengguna dalam talian.
Universiti Southeast sering dikaitkan dengan institusi elit seperti Universiti Tsinghua dan Peking, menjadikan jawatan itu lebih mencuri tumpuan. - Agensi