Penceramah dibebaskan dengan jaminan, masih dalam siasatan JAINJ

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung penceramah agama ditahan di Pasir Gudang disyaki tiada tauliah

JOHOR BAHRU – Seorang penceramah agama yang ditahan kerana disyaki memberi ceramah tanpa tauliah di negeri ini masih dalam siasatan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Pengarah JAINJ, Nasri Md Ali berkata, lelaki tempatan berusia 50 tahun itu ditahan pada jam 8.30 malam, Rabu lalu, namun telah dibebaskan dengan jaminan pada keesokan harinya.

Iklan
Iklan

"Selepas dibebaskan, beliau telah dipanggil semula semalam dan akan dipanggil sekali lagi pada 3 Julai depan bagi membantu siasatan.

"Sepanjang proses siasatan dan penahanan, beliau memberikan kerjasama yang baik kepada pihak kami,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Iklan

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997.

Sebelum itu, seorang penceramah agama dilaporkan ditahan oleh JAINJ di sebuah kediaman di Pasir Gudang pada malam Rabu.

Iklan

Penahanan ke atas lelaki terbabit dilakukan sekitar jam 8.30 malam oleh Bahagian Penguatkuasaan JAINJ dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam.

"Berdasarkan rekod, individu sama pernah ditahan pada tahun 2016 atas kesalahan yang sama. Pada tahun 2020, satu serbuan dibuat namun beliau berjaya melarikan diri. Ini merupakan kali ketiga tindakan diambil terhadap beliau kerana tiada tauliah,” katanya.

Sebelum itu, tular satu rakaman video berdurasi hampir tiga minit di media sosial yang dikongsi oleh pendakwah selebriti, Ustaz Abdullah Khairi memaparkan detik penahanan seorang penceramah di Pasir Gudang.

Video tersebut turut disertakan kenyataan:"Apa sebenarnya kesalahan beliau, Ustaz Isa Deraman (Tok Ku Pasir Gudang)... sampai ditahan di lokap? Menyampaikan agama kini seolah-olah menggenggam bara api...”