GOMBAK – Seorang wanita berusia 30 tahun ditahan reman selama enam hari bermula Sabtu hingga Khamis bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang dipercayai dicederakan oleh gurunya menggunakan pen di sebuah tadika swasta di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, wanita itu ditahan selepas laporan dibuat oleh bapa mangsa, yang mendapati anaknya mengalami kecederaan di kepala.