SANDAKAN - Seorang pejalan kaki maut selepas digilis dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Batu 4, Jalan Utara, di sini, pada malam Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 malam itu, mangsa, seorang wanita berusia 50 tahun, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintenden K Ramasamy berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan dari arah IJM menghala ke Taman Tinosan melalui lokasi kejadian.
"Sebaik tiba di lokasi, mangsa yang juga wanita tempatan secara tiba-tiba melintas dan berdiri di tengah jalan. Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa, menyebabkan dia tercampak ke laluan sebelah.
"Ketika kejadian, sebuah lagi kenderaan di laluan sebelah turut gagal mengelak dan telah menggilis mangsa yang ketika itu berada di atas jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan segera dibawa ke Hospital Sandakan untuk rawatan lanjut.
"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia semasa dirawat di zon merah,” katanya.
Susulan kejadian itu, Ramasamy berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.