Lelaki ‘serba boleh’ AS kembali pecah rekod dunia, kali ini timbang kerusi

Iklan
David Rush memecah 15 rekod dunia Guinness dalam satu hari yang membuktikan ketangkasan dan keazaman luar biasa. - Agensi

WASHINGTON – Seorang lelaki dari Amerika Syarikat, David Rush kembali mencipta nama apabila berjaya mengimbangkan sebuah kerusi di dagunya selama satu jam 20 minit dan 30 saat sekali gus memecahkan rekod dunia Guinness yang sebelum ini dipegang oleh warga Sepanyol.

Percubaan yang berlangsung di YMCA West Boise di Idaho itu menyaksikan Rush menggunakan sebuah kerusi patio dewasa jenis ‘low-back’ berwarna coklat dengan berat 1.91 kilogram dan ketinggian kira-kira 80 sentimeter yang diimbangkan secara terbalik di atas dagunya.

Iklan
Iklan

Sepanjang percubaan itu Rush berdiri dalam keadaan tegak dengan wajah mendongak ke atas sambil memastikan imbangan kekal stabil walaupun kerusi kadang-kadang terhuyung-hayang dan sebaik melepasi masa rekod beliau meraikan kejayaan dengan mengepam tangan ke udara sambil terus mengekalkan imbangan.

Rekod terbaharu itu mengatasi catatan sebelumnya iaitu satu jam 19 minit dan 17 saat yang dilakukan oleh Christian Roberto López Rodríguez dari Sepanyol pada tahun 2021 yang sebelum ini telah menewaskan catatan asal Rush sendiri iaitu satu jam lapan minit dan 37 saat.

Iklan

Rush yang juga penulis dan penceramah motivasi terkenal kerana memegang lebih 180 rekod dunia berkata beliau membuat persiapan rapi untuk menebus semula rekod berkenaan yang dianggap antara paling mencabar kerana memerlukan ketahanan fizikal dan fokus tinggi.

Dalam masa yang sama beliau turut mencipta sejarah apabila berjaya memecahkan 15 rekod Guinness dalam tempoh satu hari termasuk mengambil 198 gigitan kecil daripada tiga biji epal sambil menjonggelnya dalam masa seminit.

Iklan

Selain itu beliau turut memantulkan 47 biji bola ping pong ke dinding menggunakan mulut dalam masa 30 saat memukul bola ping pong ke dinding sebanyak 398 kali dalam seminit dan menangkap 16 biji bola ping pong di atas kepala yang disapu buih pencukur dalam masa 30 saat.

Satu lagi aksi yang memukau ialah apabila beliau melakukan 125 sentuhan menggunakan kedua-dua belah tangan secara bergilir dalam masa 30 saat dengan bola besbol.

Kesemua aksi berkenaan disaksikan secara rasmi oleh pegawai Guinness World Records sekali gus menambahkan lagi koleksi kejayaan Rush yang kini semakin sinonim dengan percubaan luar biasa dan penuh keunikan.

Rush berkata beliau mahu menginspirasikan orang ramai supaya mencabar diri dan melakukan sesuatu yang kelihatan mustahil kerana katanya had sebenar hanya terletak pada keberanian untuk mencubanya. - Agensi