KUALA LUMPUR – Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berlangsung dengan penuh tertib dan khusyuk di Masjid Muadz bin Jabal, Setiawangsa, pada Khamis.
Majlis bermula sekitar jam 5.30 petang dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang disambut dengan penuh hormat oleh para jemputan kenamaan dan jemaah yang hadir.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Acara dimulakan dengan bacaan Yasin dan diikuti dengan doa selamat yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni, sebagai tanda kesyukuran dan munajat kepada Allah SWT agar memberkati pemerintahan Seri Paduka Baginda serta mendoakan kesejahteraan rakyat dan negara.
Majlis tersebut merupakan antara acara tradisi sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda yang disambut oleh seluruh rakyat Malaysia setiap tahun dengan penuh kesyukuran dan penghormatan.
Sejurus selesai majlis, kira-kira jam 6 petang, Seri Paduka Baginda berangkat meninggalkan masjid, diiringi oleh para kenamaan lain yang turut menghadiri majlis berkenaan.
Majlis berlangsung dalam suasana yang tenang dan penuh keberkatan, memperlihatkan perpaduan antara institusi diraja dan rakyat dalam meraikan detik bermakna buat negara.