KUALA SELANGOR –"Sejak Pak Lang hilang, saya langsung tak berselera, asyik terfikirkan keadaannya entah dia dah makan ke belum.”
Demikian luah Maziah Zainudin, 50, kakak kepada Khairul Anuar, 43, yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu.
Menurutnya, kehilangan Khairul Anuar atau lebih mesra disapa Pak Lang disedari kira-kira jam 2.30 petang, ketika dia sedang sibuk menguruskan kerja-kerja membuka khemah di halaman rumahnya di Taman Desa Mawar di sini.
"Sehari sebelum itu berlangsung majlis perkahwinan anak perempuan saya dan pada petang kejadian, pihak pengusaha khemah datang untuk membuka peralatan, tambahan pula pintu pagar rumah tak berkunci bagi memudahkan urusan keluar masuk.
"Namun, selepas masuk ke dalam rumah, saya nampak pintu dapur sudah terbuka dan mengesyaki Pak Lang keluar senyap-senyap mungkin dia merajuk,” katanya.
Maziah berkata, sebelum kejadian, dia sempat menegur adiknya yang menghidap kanser sarcoma tahap tiga supaya berhenti merokok seperti dinasihatkan doktor pakar dari Hospital Pulau Pinang, tempat di mana lelaki itu mendapatkan rawatan kanser.
"Dia memang ada kad OKU (Orang Kurang Upaya) kerana lambat bercakap dan dua tahun lalu tangan kanannya terpaksa dipotong akibat kanser.
"Saya jaga dia sejak tiga tahun lalu dan mengambilnya daripada abang sulung kami di Beruas, Perak, selepas pemergian ibu pada tahun 2019.
"Dalam masa sama, saya juga menjaga anak sulung yang terlantar akibat pendarahan otak yang juga seorang OKU,” ujarnya.
Tambah Maziah, sejak kehilangannya, mereka menerima pelbagai maklumat daripada orang awam termasuk yang memaklumkan adik lelakinya itu dilihat berada di masjid berdekatan rumah mereka.
"Berdasarkan maklumat terkini, dia masih berada di sekitar kawasan Tanjong Karang, malah suami dan anak saya juga telah keluar mencarinya, namun tidak berjaya menemui Pak Lang.
"Kami percaya dia mungkin menyorok apabila terlihat kenderaan yang dikenalinya,” jelasnya.
Sehubungan itu, Maziah merayu orang ramai terjumpa Pak Lang segera membawanya ke Balai Polis Tanjong Karang atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor kerana bimbang adiknya itu melarikan diri semula.
"Kalau sesiapa ternampak, tolong bantu bawa Pak Lang ke balai polis dan hubungi saya di talian 013-294 0400. Laporan polis juga telah saya buat pada jam 6 petang semalam (Rabu),” katanya.