Pas sandang tiga jawatan menteri

Iklan
Gambar dari kiri: Takiyuddin, Tuan Ibrahim, Mohd Khairuddin

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan citra baharu jemaah menteri yang menyaksikan Pas kembali ke persada kepimpinan Persekutuan selepas hampir 43 tahun menjadi pembangkang.

Dalam sidang berita khas di Putrajaya, Muhyiddin menamakan tiga pemimpin Pas sebagai menteri dalam Kabinet beliau.

Iklan
Iklan

Mereka ialah Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilantik sebagai Menteri Alam Sekitar, Datuk Takiyuddin Hassan dinamakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Tuan Ibrahim merupakan Timbalan Presiden Pas, Takiyuddin ialah Setiausaha Agung manakala Mohd Khairuddin ahli jawatankuasa kerja parti itu.

Iklan

Kali terakhir Pas berada dalam Kabinet Persekutuan adalah pada Januari 1973 hingga November 1977 semasa Presiden Pas ketika itu, Mohd Asri Muda menyandang jawatan Menteri Pembangunan Tanah dan Kemajuan Wilayah.

Pas dipecat daripada Barisan Nasional pada 14 November 1977.

Iklan

Kerajaan Persekutuan pimpinan Muhyiddin merangkumi Bersatu, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan Pas.

Pada 1 Mac lepas, beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara. - Bernama