KUALA LUMPUR - Pabila Dia Tersenyum dan Si Bakhil Dengan Bunganya karya penulis terkenal, Liza Nur antara dua naskah terbitan Grup Buku Karangkraf (GBK) yang dipilih untuk diadaptasikan kepada drama bersiri tahun ini.
Ketua Unit Novel dan Editor Perolehan GBK, Shahida Md Khasim berkata, drama Pabila Dia Tersenyum dengan 15 episod yang ditayangkan di platform Viu melabuhkan tirai pada 24 Mei lalu manakala Si Bakhil Dengan Bunganya boleh ditonton bermula 28 Mei setiap Rabu dan Khamis jam 9 malam di Astro Ria.
Menurut beliau, kedua-duanya di bawah terbitan syarikat produksi sama iaitu Global Station Sdn Bhd yang sentiasa mengadaptasikan drama menggunakan karya terbitan GBK.
"Novel Pabila Dia Tersenyum sebenarnya dah berusia 15 tahun, pada mulanya kami terbit di bawah jenama Buku Prima. Kemudian, syarikat produksi hubungi kami kira-kira pertengahan tahun lepas untuk dijadikan drama dan apabila penulis setuju, kami pun teruskan.
"Kebetulan Liza Nur juga memang penulis skrip untuk drama ini. Untuk Si Bakhil Dengan Bunganya pula memang buku terbaharu yang siap terbit awal tahun ini.
"Belum siap dibukukan, Global Station Sdn Bhd dah tempah untuk jadikan drama bersiri. Sesi penggambaran difahamkan selesai pada April lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) bertempat di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Khamis.
GBK turut menawarkan potongan harga sehingga 40 peratus bagi pembelian buku sempena PBAKL 2025 yang bermula 23 Mei hingga 1 Jun ini.
Bukan itu sahaja, jenama penerbitan buku terkemuka tersebut menampilkan 50 judul terbaharu keluaran Januari hingga Mei tahun ini merangkumi pelbagai jenis antaranya novel, buku agama, biografi, buku umum dan bacaan kanak-kanak.
Sementara itu, Shahida memaklumkan, Liza Nur bersama teraju utama dua drama berkenaan bakal menemui peminat setia dalam satu sesi temu mesra pada 31 Mei.
Tambahnya, novelis terkemuka lain seperti Ibnu Rijal, Osman Deen dan penampilan khas, Datuk K Rajagobal juga akan menemui peminat pada hari sama.
"Sabtu ini kami jemput semua penggemar setia drama dan novel Si Bakhil Dengan Bunganya untuk datang memeriahkan reruai GBK di aras tiga WTC.
"Pelakon Si Bakhil Dengan Bunganya seperti Alya Iman, Yusuf Bahrin dan lain-lain akan meluangkan masa bertemu peminat pada jam 5 petang.
"Kami juga adakan StayKesyen iaitu slot menghimpunkan penulis terkenal atau baharu yang pernah bekerjasama dengan Alaf 21 misalnya Aisya Sofea, Damya Hanna, Anis Ayuni dan lain-lain. Ia kerana selepas ini Alaf 21 bakal dijenamakan kepada Novel Karangkraf,” ujar beliau lagi.