SERAMAI 500 usahawan belia bumiputera bakal menerima manfaat geran perniagaan berjumlah RM7.5 juta menerusi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) 11 anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui SME Corp Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Datuk Nainy berkata, sejak diperkenalkan pada 2014, program tersebut telah menyalurkan RM125.84 juta dalam bentuk geran dan berjaya melatih 8,653 usahawan belia di seluruh negara.
"Sebanyak 8,312 usahawan muda telah mendaftarkan perniagaan dengan nilai jualan terkumpul mencecah RM207.22 juta, dan mewujudkan 16,690 peluang pekerjaan.
"SME Corp. Malaysia akan terus memantau dan membimbing peserta TUBE agar mereka mampu melonjakkan perniagaan ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Program latihan asas keusahawanan itu dilaksanakan secara serentak di empat zon iaitu Timur, Utara, Pantai Timur dan Tengah/Selatan dari 21 hingga 28 Mei, manakala Sabah telah melaksanakannya pada Februari lalu.
Latihan melibatkan dua fasa iaitu bengkel selama lapan hari, diikuti sesi bimbingan dan pemantauan perniagaan. Peserta yang layak akan menerima geran sehingga RM15,000 untuk memulakan perniagaan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam, yang mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, merasmikan Majlis Penutupan TUBE 11 Zon Timur yang berlangsung di University College of Yayasan Pahang (UCYP) di sini.
Menerusi teks ucapan yang dibacakan Datuk Amizar, Datuk Seri Wan Rosdy berkata, pelantikan beliau sebagai Penasihat Khas kepada Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) merupakan amanah besar dalam memperkukuh agenda pembangunan PMKS negara.
"Aspirasi kerajaan jelas, iaitu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara usahawan – di mana keusahawanan bukan sahaja satu pilihan kerjaya, tetapi satu budaya, sistem sokongan dan kekuatan ekonomi nasional,” katanya.
SME Corp. Malaysia turut menyediakan pelbagai inisiatif seperti Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP), BEEP Plus, Galakan Eksport Bumiputera (GEB) dan skim pembiayaan patuh syariah seperti Tunas-i dan BMFI@BEEP untuk membantu usahawan Bumiputera berkembang ke peringkat global.
Majlis penutupan turut menyaksikan penyampaian cek cura simbolik serta penganugerahan Peserta Terbaik dan Rancangan Perniagaan Terbaik TUBE Zon Timur.