[DIKEMAS KINI] "ADUH! Gagal lagi Manchester United menang piala... harap tak turun Championship musim depan.”
Demikian sindiran bersahaja oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengungkap kekalahan memalukan Manchester United 0-1 terhadap pasukan ASEAN All-Stars dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Dalam satu hantaran di Facebook rasmi, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada pasukan bintang serantau yang dianggap underdog, namun berjaya menumpaskan kelab gergasi Inggeris itu di hadapan lebih 72,000 penyokong yang membanjiri stadium.
"Tahniah ASEAN All Stars, hangpa memang PADUUUUU!!!” tulisnya lagi dengan nada penuh semangat.
Perlawanan yang menjadi sebahagian daripada jelajah pasca musim Manchester United ke Asia itu menyaksikan kelab bimbingan Ruben Amorim gagal menampilkan prestasi meyakinkan walaupun menurunkan barisan pemain utama.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan pemain sayap Myanmar, Maung Maung Lwin pada minit ke-71 selepas serangan balas kilat menewaskan penjaga gol gantian, Tom Heaton.
United yang turut menurunkan bintang seperti Casemiro, Harry Maguire dan Rasmus Højlund, serta memasukkan Bruno Fernandes dan Alejandro Garnacho pada babak kedua, buntu mencari jaringan.
Amorim mengakui kecewa dan menyifatkan skuadnya sebagai kurang bersemangat juang dan berdepan mentaliti kemenangan yang rapuh.
Sementara itu, jurulatih ASEAN All-Stars, Kim Sang-sik mengakui kemenangan tersebut amat bermakna, apatah lagi pemainnya hanya sempat berlatih dua hari sebelum turun beraksi.
Manchester United akan meneruskan jelajah mereka ke Hong Kong minggu ini.
Bagaimanapun, kekalahan ini pasti memberi tamparan awal buat persiapan musim hadapan – dan menambah tekanan terhadap Amorim yang baru sahaja dilantik menggantikan Erik ten Hag.