Chelsea cipta sejarah, lengkapkan koleksi trofi Eropah

Iklan
Pemain-pemain Chelsea meraikan kejayaan menjulang kejuaraan Liga Konferens.

CHELSEA bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Real Betis 4-1 dalam perlawanan akhir Liga Konferens di Arena Tarczyński yang dihadiri 39,754 penonton, sekali gus muncul kelab pertama yang melengkapkan koleksi kemenangan kesemua trofi utama kelab Eropah.

Dengan hanya 25 minit baki permainan dan kekalahan seolah-olah hampir pasti, Cole Palmer memperagakan aksi cemerlang apabila menjadi perancang kepada dua gol yang dijaringkan Enzo Fernandez dan Nicolas Jackson.

Iklan
Iklan

Fernandez menyamakan kedudukan dengan tandukan hasil sepakan Palmer, sebelum Jackson menambah jaringan lima minit kemudian. Jadon Sancho menjadikan kedudukan lebih selesa dengan rembatan cantik hasil umpanan pemain gantian, Kiernan Dewsbury-Hall.

Moises Caicedo melengkapkan kemenangan bergaya Chelsea dengan jaringan keempat dalam masa kecederaan, hasil rembatan yang terbias pemain lawan.

Iklan

Chelsea sebelum itu ketinggalan pada separuh masa apabila Abde Ezzalzouli meledak gol pendahuluan Real Betis, hasil hantaran Isco.

Kebangkitan dramatik Chelsea di Poland membuktikan kewajaran keputusan Enzo Maresca yang menurunkan kesebelasan utama terbaiknya dalam mana-mana perlawanan Liga Konferens musim ini.

Iklan

"Saya sangat gembira. Saya agak kecewa pada separuh masa pertama kerana kami mendekati perlawanan dengan cara yang kurang tepat. Pada separuh masa kedua, kami bermain dengan jauh lebih baik," kata Maresca.

Kejayaan ini menjadikan Chelsea sebagai kelab pertama yang memenangi kelima-lima kejohanan utama anjuran Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) – Liga Juara-Juara, Liga Europa, Liga Konferens, Piala Super, dan Piala Pemenang Piala yang kini telah dimansuhkan.

Chelsea turut memahat sejarah baharu apabila menjadi pasukan luar Sepanyol pertama yang berjaya menewaskan kelab La Liga Sepanyol dalam perlawanan akhir sejak tahun 2002.

Sebagai rekod, kelab Sepanyol telah memenangi kesemua 27 perlawanan akhir kejohanan kelab atau antarabangsa Eropah melibatkan wakil negara itu sebelum ini.