Pemandu maut, lori rempuh treler di lebuh raya WCE

Iklan
Anggota bomba menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan hidraulik bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit. Foto Bomba Perak

TAIPING - Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan yang dipandunya merempuh bahagian belakang sebuah lori treler di Kilometer 243, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) berhampiran Trong, awal pagi Khamis.

Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku sekitar jam 2.50 pagi itu, mangsa berusia 37 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat tersepit.

Iklan
Iklan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kelindan lori berkenaan bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami kecederaan serius.

Menurutnya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Trong dengan kekuatan lima anggota telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa.

Iklan

"Operasi menyelamat dijalankan menggunakan peralatan hidraulik bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Ketua operasi melaksanakan penilaian situasi serta mengaplikasikan konsep SAVER dalam pengurusan insiden,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.22 pagi,” ujarnya.

Difahamkan, pemandu treler yang terbabit dalam nahas tersebut telah meninggalkan lokasi sejurus kemalangan berlaku.