Insiden 'tendang katil' cetus pergaduhan lima pelajar asrama

Iklan
Pertelingkahan itu kemudiannya berlarutan apabila beberapa rakan suspek turut campur tangan. Gambar hiasan

KEMAMAN - Perasaan tidak puas hati kerana dikejutkan dengan cara menendang katil dipercayai antara punca insiden pergaduhan melibatkan sekumpulan pelajar di sebuah kolej vokasional di daerah ini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kejadian tersebut dipercayai berlaku sekitar jam 12.30 tengah malam membabitkan lima pelajar lelaki berusia 17 tahun di asrama kolej berkenaan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pergaduhan tercetus apabila salah seorang suspek dipercayai menendang katil seorang pelajar lain yang sedang tidur, sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

"Pertelingkahan itu kemudiannya berlarutan apabila beberapa rakan suspek turut campur tangan dan mangsa mendakwa telah dipukul oleh beberapa individu," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Iklan

Mohd Razi memaklumkan, mangsa tampil membuat laporan polis pada tengah hari Selasa, sebelum kesemua suspek ditahan sekitar jam 5 petang hari yang sama.

"Mangsa telah dirujuk ke klinik berdekatan untuk pemeriksaan kesihatan, namun setakat ini laporan perubatan rasmi masih belum diperoleh," jelas beliau.

Iklan

Menurutnya, lima remaja terbabit kini ditahan reman selama tiga hari bermula Rabu hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan," katanya.