KUALA LUMPUR – Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, yang sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) akibat keletihan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan baik.
Menurut Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada Rabu, baginda ditemani Raja Isteri Pengiran Anak Saleha di pusat perubatan tersebut dan masih memerlukan pemantauan rapi daripada pasukan perubatan.
"Sehubungan itu, pasukan perubatan telah menasihatkan agar baginda Tuanku tidak menerima sebarang pelawat buat masa ini kecuali daripada keluarga Diraja Brunei sahaja demi memastikan proses pemulihan dapat berjalan dengan lancar,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan sama turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, telah menziarahi Sultan Brunei di IJN.
Anwar juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendoakan kesihatan baginda Sultan.
"Semoga baginda Tuanku dikurniakan afiyah sesegera mungkin serta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, media mempersoalkan keberadaan Sultan Hassanal Bolkiah yang tidak hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN–Majlis Kerjasama Teluk (GCC)–China yang berlangsung petang semalam.
Perdana Menteri mengesahkan bahawa baginda sedang berehat di IJN selepas berasa letih. - Bernama