KUANTAN - Inisiatif murni sekumpulan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Afzan berjaya mengumpulkan RM1,900 dalam tempoh seminggu bagi melengkapkan kemudahan di Rumah Mengaji Mamie, Kampung Tengah di sini.
Wakil kumpulan tersebut, Jurina Abdul Rani, 53, berkata, sumbangan itu digunakan sepenuhnya untuk membeli rehal baharu yang menjadi peralatan asas buat pelajar kelas al-Quran di rumah mengaji berkenaan.
"Ini usaha kecil kami sebagai bekas pelajar yang mahu kembali menyumbang kepada kampung halaman.
"Rehal ini bukan sekadar tempat membaca, tetapi lambang kasih kami terhadap ilmu al-Quran,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Terdahulu, Jurina bersama beberapa wakil bekas pelajar sekolah terbabit menyerahkan sumbangan itu kepada Ketua Kampung Tengah, Jamil Fauzi, dalam satu penyerahan ringkas di kampung tersebut.
Jurina memberitahu, meskipun rakan sekolahnya kini sudah membawa haluan masing-masing, mereka tetap bersatu hati demi manfaat generasi muda.
"Saya terharu dengan sambutan luar biasa daripada rakan-rakan sekolah yang menyumbang tanpa banyak soal.
"Mereka percaya bahawa setiap sen yang disumbangkan bakal menjadi pahala berpanjangan,” jelasnya.
Beliau menambah, selain rehal, Rumah Mengaji Mamie masih memerlukan 10 helai telekung kanak-kanak dan lima helai telekung wanita untuk kegunaan pelajar.
"Saya mengalu-alukan sebarang sumbangan daripada mana-mana individu yang ingin sama-sama membantu dalam bentuk infaq.
"Semoga setiap pemberian ini diberkati Allah SWT dan menjadi saham akhirat untuk semua penyumbang,” ujarnya lagi.