SHAH ALAM – Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus mencuri perhatian warganet apabila dilihat meluangkan masa bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menikmati hidangan di sebuah restoran baru-baru ini.
Dalam satu video berdurasi 55 saat yang dimuat naik di akaun TikTok milik Syed Saddiq, suasana santai antara kedua-dua tokoh itu dipenuhi perbualan yang menyentuh pelbagai aspek, termasuk soal politik, kepimpinan dan tanggungjawab terhadap rakyat.
Iklan
Iklan
Ustaz Azhar turut memberikan nasihat serta berkongsi pandangan berhubung peranan seorang pemimpin yang bukan sahaja perlu bertanggungjawab, malah berpegang teguh kepada nilai agama dan akhlak.
"Sekarang banyak ahli politik apabila ada kuasa, dia potong... Kalau hak itu hak orang lain, kita potong (ambil hak orang), haram hukumnya.
Dalam hadis yang bermaksud, barang siapa yang memotong hak seorang Islam yang lain, ALLAH wajibkan dia masuk neraka dan ALLAH haramkan mukanya masuk syurga,” katanya.
Video itu turut memaparkan momen seloroh Ustaz Azhar mengenai soal jodoh Syed Saddiq, yang mengundang reaksi lucu daripada warga maya.
Rata-rata netizen membanjiri ruangan komen dengan gurauan serta doa agar urusan jodoh tokoh muda itu dipermudahkan, menjadikan video tersebut tular di platform TikTok dan media sosial lain.