MAHKAMAH Rendah Syariah Kuala Lumpur pada Selasa mengesahkan pernikahan pasangan pempengaruh muda, Marissa Dania Hakim dan Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid yang berlangsung di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023 sebagai sah mengikut hukum syarak dan undang-undang.
Hakim Syarie Wan Mohd Najib Wan Hamat membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak dan pengesahan dibuat di bawah Seksyen 23(1A) berkaitan nikah poligami luar negara tanpa kebenaran.
Peguam syarie yang mewakili pasangan terbabit, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri, mengesahkan perkara itu dan memaklumkan pasangan tersebut perlu mendaftarkan pernikahan mereka dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
"Pernikahan Marissa dan Aslam adalah sah mengikut hukum syarak dan undang-undang serta boleh didaftarkan.
"Mahkamah sudah sahkan dokumen dari Thailand. Selesai dari segi undang-undang. Selepas ini, mereka perlu daftarkan pernikahan secepat mungkin dengan pihak JAWI," jelasnya.
Pada 5 Mei lalu, Aslam, 26, dan Marissa, 20, hadir ke mahkamah sama adalah bagi tujuan prosiding siasatan dan pengesahan pernikahan di luar negara.
Bagaimanapun, prosiding itu terpaksa ditangguh berikutan kesalahan teknikal yang berlaku ketika mengisi borang.
Sebelum ini, pernikahan mereka telah mencetus kontroversi kerana dilakukan tanpa pengetahuan isteri pertama Aslam iaitu Misya Mazlan dan ibu bapa Marissa yang juga pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi.