KUALA LUMPUR – Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan melakukan rompakan di sebuah rumah flat minggu lalu.
Faiz Razin Kamal Farid, 41, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.
Mahkamah memerintahkan bapa kepada dua anak itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada Rabu minggu lalu.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merompak dua telefon bimbit milik dua individu di sebuah rumah flat di Chow Kit, di sini, pada jam 7 pagi, 20 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan juga boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh menggunakan pemutar skru untuk mengumpil pintu rumah berkenaan, kemudian menutup mulut serta mencekik leher mangsa.
Mangsa melawan dengan menendang tertuduh sebelum menjerit meminta pertolongan, dan lelaki itu sempat mengambil dua telefon bimbit berkenaan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Joshua Tee mencadangkan supaya tertuduh dikenakan hukuman berbentuk pengajaran.
Bagaimanapun, Faiz Razin yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman dikurangkan kerana perlu menanggung anak-anak, selain isterinya menghidap penyakit buah pinggang dan bipolar.
"Saya perlukan wang untuk menanggung perubatan isteri. Kalau ada sebatan, naikkanlah jumlahnya, asalkan hukuman penjara dikurangkan.
"Saya tahu niat tidak menghalalkan cara, namun saya terdesak dan kini saya menyesal,” katanya.