SHAH ALAM - Dalam usaha memperkukuh hubungan strategik antara pihak polis dan sektor swasta, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa telah mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Kawalan Operasi Keselamatan Menara KK di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Rusdi berkata, lawatan itu turut disertai dengan Program Pencegahan Jenayah yang bertujuan memperkasakan keselamatan perniagaan dan komuniti sekitar.
Menurutnya, setiap pekerja perlu menjadi ‘mata dan telinga’ kepada keselamatan komuniti.
Beliau juga menzahirkan penghargaan terhadap inisiatif KK Super Mart yang telah mewujudkan bilik kawalan kamera litar tertutup (CCTV) bersepadu dan memperkenalkan konsep KK Unmanned Store, iaitu inovasi baharu dalam runcit tanpa juruwang berteraskan teknologi serta kawalan keselamatan pintar.
"Kejayaan dalam pencegahan jenayah memerlukan kerjasama semua pihak. Usaha sektor peruncitan seperti KK Super Mart dalam memperkukuh sistem keselamatan mereka sangat kami hargai.
"Ini bukan hanya melindungi perniagaan, tetapi juga pelanggan dan komuniti secara keseluruhan
"Lawatan ke fasiliti ini memberi gambaran jelas tentang transformasi digital boleh membantu mengurangkan insiden jenayah dan meningkatkan kecekapan operasi,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.