KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di sini.
Pertemuan selama kira-kira 20 minit itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Kuwait, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan, pelancongan serta pengurusan bencana.