Kereta F1 dipandu Schumacher dijual hampir AS$18.19 juta di Monaco

Iklan
Jentera Ferrari yang dipandu Schumacher dilelong pada harga AS$18.19 juta di luar perlumbaan GP Monaco pada Ahad. Foto AFP

SEBUAH jentera Ferrari yang dipandu Michael Schumacher dalam usahanya meraih kejuaraan Formula Satu (F1) 2001 telah dilelong pada harga hampir €16 juta (AS$18.19 juta) di luar perlumbaan Grand Prix (GP) Monaco pada Ahad, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menurut agensi lelongan RM Sotheby’s, kereta itu berjaya mencatatkan bidaan tertinggi iaitu €15.98 juta termasuk yuran. Akhbar The New York Times melaporkan harga permulaan kereta itu ialah €8 juta.

Iklan
Iklan

Akhbar itu juga melaporkan bahawa kereta berkenaan dibeli oleh seorang daripada tetamu di kawasan VIP di litar perlumbaan, yang menyaksikan Lando Norris muncul juara.

Dengan jentera itu, Schumacher yang juga juara dunia tujuh kali, memenangi perlumbaan di GP Monaco pada 2001.

Iklan

Menurut laporan The New York Times, ia merupakan harga tertinggi yang pernah dibayar bagi sebuah jentera F1 Ferrari.

Rekod harga tertinggi pernah dicapai bagi sebuah kereta F1 dipegang oleh Mercedes W196 yang pernah dipandu Juan Manuel Fangio dan Stirling Moss pada era 1950-an. Kenderaan itu dilelong tahun ini pada harga melebihi AS$52 juta.

Iklan

Schumacher bersara selepas musim 2006 sebelum kembali bersama Mercedes pada 2010 dan menamatkan kerjayanya secara rasmi pada 2012. - Bernama-dpa