Anak bekas Presiden Pas dilantik Mufti Wilayah Persekutuan baharu

Iklan
Pelantikan Ahmad Fauwaz sebagai Mufti Wilayah Persekutuan baharu diumumkan dalam Facebook Jakim.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pendakwah terkenal, Ahmad Fauwaz Fadzil telah dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu berkuat kuasa 23 Mei 2025.

Pelantikan sarjana Islam yang juga anak kepada bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor itu diumumkan melalui Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Iklan
Iklan

"Ketua Pengarah dan seluruh warga Jakim merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz atas pelantikan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan berkuat kuasa mulai 23 Mei 2025.

"Semoga ALLAH SWT mempermudah segala urusan dan mengurniakan kekuatan dalam memikul amanah besar itu demi kemaslahatan ummah dan negara," menurut hantaran tersebut pada Isnin.

Iklan

Ahmad Fauwaz merupakan Ahli Lembaga Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan memiliki kelulusan dalam bidang Syariah dari Universiti Al-Azhar serta Universiti Malaya, selain menjalani latihan kefatwaan di Dar al-Ifta, Mesir.

Pada Oktober lalu, kerajaan melantik Ahmad Fauwaz Fadzil sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas bagi menyediakan sukatan pelajaran pemulihan akidah mangsa dan pengikut GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).

Iklan

Untuk rekod, Ahmad Fauwaz juga merupakan adik kepada Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, pelantikan Ahmad Fauwaz Fadzil mencerminkan keyakinan tinggi kepimpinan negara terhadap kebolehan dan kewibawaannya mengemudi institusi fatwa negara dengan penuh integriti dan hikmah.

Beliau berkata, pelantikan yang berkuat kuasa mulai 23 Mei itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menurutnya, Ahmad Fauwaz merupakan tokoh ilmuwan Islam prolifik dalam bidang perundangan Islam, pendidikan, kewangan Islam, dakwah dan penyelidikan.

"Beliau berkelulusan Sarjana Muda Syariah Islamiyyah dari Universiti Al-Azhar, Mesir (2000–2004) serta menyempurnakan pengajian Sijil Profesional Fatwa di Dar al-Ifta' al-Misriyyah (2005–2008).

"Selain itu, beliau memiliki Ijazah Sarjana Usul Fiqh dari Universiti Malaya (2017) dan pensijilan antarabangsa Certified Sharia Advisor and Auditor (CSAA) oleh AAOI," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Tambah Mohd Na'im, pendakwah terbabit juga aktif menyumbang dalam pelbagai institusi termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, MAIWP, institusi kewangan dan akademik.

Beliau menyifatkan, kepakaran Ahmad Fauwaz dalam bidang usul figh, figh muamalat, figh perubatan serta kefahaman figh kontemporari amat diperlukan dalam membentuk dasar-dasar hukum Islam seimbang berlandaskan maqasid syariah dan selari dengan aspirasi Malaysia Madani.

Menurutnya, sebagai ilmuwan sering muncul dalam media dan forum ilmiah, sarjana Islam tersebut dikenali sebagai tokoh mampu menjelaskan isu-isu keagamaan semasa secara tuntas, inklusif dan bersifat mendidik.

"Saya yakin dan percaya bahawa beliau akan memperkukuh lagi peranan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sebagai institusi autoritatif menjadi rujukan umat Islam di Malaysia.

"Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan dan semoga ALLAH SWT memberkati pelantikan itu dan memberikan kekuatan kepada beliau untuk menjalankan amanah dengan penuh hikmah, integriti dan istiqamah," ujarnya lagi.