MANJUNG - Seorang warga emas diselamatkan daripada cubaan terjun dari bumbung rumah kediamannya di Pantai Remis di sini awal pagi pada Isnin.
Panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis pada jam 3.30 pagi melibatkan mangsa berusia lingkungan 60-an.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat awal diterima memberitahu, lelaki terbabit cuba terjun dari bumbung rumah.
"Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati mangsa masih berada di atas bumbung rumah dan sedang dipujuk untuk turun.
"Mangsa juga dikatakan mengalami masalah gangguan mental," katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut beliau, ketua operasi melaksanakan penilaian situasi dan mengarahkan anggota membantu memujuk sehingga mangsa turun dengan selamat.
"Mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat sepenuhnya jam 3.55 pagi," katanya.