KALENDAR Liga Malaysia (Liga-M) kini bergerak seiring dengan jadual liga-liga luar negara selepas melalui proses transisi yang dimulakan pada musim lalu.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan memaklumkan, musim baharu Liga-M akan bermula pada awal Ogos 2025, selaras dengan jadual kebanyakan liga profesional di peringkat antarabangsa.
"Selepas proses transisi Liga Malaysia pada musim 2024-2025, kalendar Liga-M kini selari dengan liga-liga luar negara dan tirai saingan akan bermula pada awal Ogos 2025.
"Ia akan dimulakan dengan Perlawanan Sumbangsih yang turut menjadi aksi pembukaan Liga Super melibatkan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan naib juara, Selangor FC," kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, MFL turut mengumumkan tarikh rasmi bagi jendela perpindahan pemain musim 2025-2026.
"Tempoh perpindahan pertama akan dibuka bermula 9 Jun hingga 31 Ogos 2025, manakala jendela kedua akan berlangsung dari 5 Januari hingga 1 Februari 2026," jelas MFL.
Tambah MFL lagi, saingan Piala FA musim 2025-2026 dijadualkan bermula pada Ogos, diikuti Piala Cabran serta Piala Malaysia yang akan membuka tirai pada Januari 2026.
"MFL akan mengemaskini maklumat terperinci kalendar Liga-M selepas menerima pengesahan tarikh rasmi kejohanan ACL Elite dan ACL 2 daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta kejohanan kelab di bawah kelolaan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF)," katanya.