Pekerja pendawaian diberkas kurang sejam selepas samun kedai runcit

Iklan
Seorang pekerja pendawaian elektrik diberkas selepas dipercayai melakukan samun bersenjata di sebuah kedai runcit 24 jam di Jertih. Foto hiasan

JERTIH - Seorang pekerja pendawaian elektrik diberkas kira-kira 45 minit selepas dipercayai melakukan samun bersenjata di sebuah kedai runcit 24 jam di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, lelaki berusia 21 tahun itu ditahan pekerja kedai berkenaan pada jam 5.45 pagi selepas dia kembali bagi mengambil motosikal yang ditinggalkan berhampiran lokasi berkenaan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, suspek yang tinggal di kampung berdekatan bandar Jertih kemudian diserahkan kepada polis.

"Suspek sebelum itu memakai topi keledar bercermin gelap dan bertopeng masuk ke kedai runcit berkenaan lalu mengacukan pisau kepada pekerja lelaki berumur 30 tahun sebelum mengarahkan mangsa mengeluarkan wang dari laci yang berjumlah lebih RM511.

Iklan

"Lelaki itu kemudian melarikan diri, namun dikejar pekerja kedai menyebabkan dia gagal membawa motosikal yang diletakkan berhampiran kedai berkenaan,” katanya dalam sidang media di sini pada Ahad.

Azamuddin berkata, suspek kemudian kembali ke kedai itu kira-kira jam 6.30 pagi setelah menukar pakaian dengan tujuan mengaburi mata pekerja kedai untuk mengambil motosikal milik bapanya yang ditinggalkan itu.

Iklan

"Polis kemudian berjaya menemukan kembali wang tunai yang disamun dan merampas peralatan serta motosikal yang digunakannya termasuk 4.26 gram pil epam.

"Suspek turut didapati positif dadah jenis morfin dan dia yang tidak mempunyai rekod lampau direman tujuh hari bermula hari ini,” katanya dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama