KUALA LUMPUR – Grup Buku Karangkraf (GBK) menawarkan pelbagai buku kanak-kanak dan Islamik yang menarik serta berpatutan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), bermula Jumaat hingga 1 Jun ini.
Editor Kids Karangkraf, Ismawannie Ismail berkata, tawaran itu termasuk buku terbaharu Mana Satu Pilihan Zara dan siri cerita rakyat seperti Si Luncai, Nujum Pak Belalang dan Lebai Malang.
Menurutnya, buku-buku tersebut menarik kerana membawa elemen warisan tempatan, pengajaran serta teladan yang dekat di hati pembaca cilik.
"Siri kanak-kanak Karangkraf bukan sekadar buku cerita biasa. Kita juga ada siri Islamik, siri umum, cerita rakyat, sirah nabi dan buku aktiviti.
"Menariknya, selain karya penulis tempatan, Kids Karangkraf turut menerbitkan karya penulis luar termasuk dari Indonesia dan Singapura yang diterjemah ke dalam bahasa Melayu,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurut Ismawannie, pihaknya menekankan nilai moral dan pengajaran dalam setiap buku yang diterbitkan.
"Alhamdulillah, sambutan terhadap buku-buku Kids Karangkraf baik dan memberangsangkan,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Ismawannie turut memaklumkan pelbagai pakej harga menarik dan diskaun turut ditawarkan sempena pesta buku kali ini.
"Contohnya, satu buku siri cerita rakyat ditawarkan pada harga RM10 manakala lima buku hanya RM47,” katanya.
Beliau berkata, pengunjung juga berpeluang mendapatkan buku serendah RM6 menjadikannya sangat berbaloi dimiliki oleh ibu bapa mahupun pihak sekolah.
Lebih istimewa, katanya, beberapa penulis buku kanak-kanak seperti Maria Mahat, Umi Danial, Nur Khairiah dan Shazlina Md Isa turut dibawakan khas untuk sesi sembang santai bersama peminat cilik.
Tambahnya lagi, Kids Karangkraf turut memperkenalkan buat pertama kali buku kategori praremaja untuk pembaca berusia antara lapan hingga 12 tahun.
"Antaranya, novel seram praremaja terbaharu seperti Hantu Busut Jantan, Hantu Dewi Laut dan Penunggu Rumah Usang,” katanya.
Selain bahan bacaan kanak-kanak, buku Islamik terbitan Karya Bestari juga menjadi tarikan utama di reruai Karangkraf.
Eksekutif Pemasaran, Afifa Naqiah Johari berkata, Karya Bestari memperkenalkan 10 buku baharu sempena pesta buku kali ini.
Antaranya termasuk Memburu Jiwa Yang Tenang karya Kemz Azmaili yang dilancarkan menerusi sesi temu mesra bersama pembaca baru-baru ini.
Afifa berkata, setiap karya terbitan Karya Bestari mengekalkan identiti Islamik merangkumi naskhah al-Quran, hadis serta sejarah bagi mendidik masyarakat dan sesuai untuk semua peringkat umur.