Lanjutan usia persaraan hanya wajar dilaksana bagi jawatan kritikal

Iklan
Yusof (kiri) kini banyak meluangkan masa bersama isterinya, Komariah Saim dan keluarga selepas bersara enam tahun.

ALOR SETAR – Cadangan untuk melanjutkan usia persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun perlu diteliti dengan lebih mendalam, khususnya bagi memastikan ia tidak menjejaskan peluang pekerjaan kepada golongan muda.

Bekas Pembantu Tadbir Ketua Kerani Penjara Pokok Sena, Yusof Ishak, 66, berpendapat bahawa lanjutan usia persaraan hanya wajar dilaksanakan bagi jawatan-jawatan kritikal yang memerlukan kepakaran serta pengalaman luas.

Iklan
Iklan

"Kalau nak lanjutkan usia persaraan kepada 65 tahun, sebaiknya hanya bagi jawatan tertentu yang benar-benar memerlukan pengalaman dan kepakaran. Bagi jawatan kritikal, bagi saya mungkin boleh dipertimbangkan.

"Kerajaan perlu melihat kepada golongan muda, terutamanya lulusan universiti yang setiap tahun menamatkan pengajian. Mereka juga perlu diberikan ruang kerana tenaga dan idea mereka sangat diperlukan dalam sektor pekerjaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Menurutnya, keadaan sosioekonomi Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan negara-negara maju kerana masih banyak aspek pembangunan tenaga kerja yang perlu diperbaiki.

Tambah Yusof, bagi kebanyakan individu yang telah bekerja hampir 40 tahun, usia 60 tahun adalah tempoh yang paling sesuai untuk bersara dan meluangkan masa bersama keluarga.

Iklan

"Saya sendiri sudah enam tahun pencen, dan sekarang menjalankan perniagaan kecil-kecilan untuk mengisi masa lapang.

"Bekerja memang masih boleh, tapi pada usia ini kita juga mahu masa untuk diri sendiri dan keluarga,” katanya lagi.

Sebelum ini, kerajaan dicadangkan mengkaji semula had umur persaraan wajib kepada 65 tahun memandangkan ramai pekerja pada usia tersebut masih sihat dan berpengalaman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menyatakan bahawa negara-negara lain telah pun menetapkan had persaraan lebih tinggi, termasuk sehingga 70 tahun bagi golongan tertentu seperti hakim.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa perkara tersebut perlu dipertimbangkan secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat.