JOHOR BAHRU - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memberikan nafas baharu kepada program Rakan Muda yang diwujudkan pada 1994 bagi terus melahirkan golongan belia yang mampu menguasai ilmu dan kemahiran sesuai dengan minat masing-masing.
Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Richard Barahim berkata perancangan untuk melihat kembalinya aktif program Rakan Muda mengikut 10 bidang sedia ada sebenarnya telah digerakkan pada tahun 2023, namun kementerian itu kembali fokus melaksanakannya tahun ini.
"Idea itu ada, kita dah mula gerakkan sebelum ini, tapi tiada platform yang sesuai sehinggalah kita temui Program Madani Rakyat (PMR) yang dilihat bersesuaian, dengan penglibatan lebih ramai golongan belia.
"Pelaksanaan PMR anjuran Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri dilihat menyeluruh kerana selain kehadiran para belia ia juga menghimpunkan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan,” katanya kepada pemberita semasa PMR 2025 Johor di sini hari pada Ahad.
Richard berkata pihak KBS juga turut merancang untuk menyesuaikan aktiviti dalam program Rakan Muda ini agar terus relevan buat golongan belia masa kini menerusi tambahan kegiatan yang mempunyai teknologi terkini.
"Kita di KBS mahu memberitahu kepada umum terutamanya kepada golongan belia yang Rakan Muda ini masih ada, masih wujud, sekali gus kita akan seiringkannya dengan kesesuaian masa kini melalui aktiviti yang seiring dengan perkembangan teknologi yang diminati golongan berkenaan.
"Program rakan muda ini mempunyai beberapa bidang dan skop seperti waja diri, cinta alam, wira usaha, kecergasan, seni budaya, inovasi, sukarelawan, wawasan desa dan jiran muda,” katanya.
Program PMR yang dilaksanakan dengan KBS bertindak sebagai kementerian peneraju diisi dengan pelbagai aktiviti yang membabitkan peluang kerjaya kepada belia dan graduan, mencungkil bakat belia serta penganjuran aktiviti e-Sukan.
Menariknya untuk PMR kali ini, ia berlangsung serentak dengan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri pada Ahad (25 Mei), seterusnya mengangkat suara dan potensi anak muda. - Bernama