BINTANG Arsenal, Stina Blackstenius mengakui tidak menyangka menjadi watak penting setelah menjaringkan gol kemenangan yang membantu pasukan itu mengejutkan Barcelona 1-0 dalam final Liga Juara-Juara Wanita pada Ahad.
Penyerang Sweden itu dimasukkan pada separuh masa kedua dan memberikan impak besar apabila menjaringkan gol menerusi serangan balas, sekali gus menghadiahkan trofi buat kali kedua kepada Arsenal selepas kali terakhir menjulangnya pada tahun 2007.
"Ia akan mengambil masa untuk benar-benar percaya bahawa kami telah menang. Ia satu detik yang sangat besar dan masih belum benar-benar dirasai.
"Saya sangat gembira dengan gol itu, tetapi kemenangan ini adalah hasil usaha sepasukan... Saya sangat bangga dengan semua pemain, mereka yang memungkinkan saya menjaringkan gol," katanya.
Barcelona sebelum ini mendominasi arena bola sepak wanita Eropah apabila memenangi tiga daripada empat edisi terakhir Liga Juara-Juara, termasuk dua musim berturut-turut sebelum ini.
Namun begitu, Arsenal mempamerkan aksi lebih meyakinkan pada separuh masa pertama dan kekal bertahan sehingga ke akhir perlawanan, sebelum Blackstenius meledak jaringan penentu kemenangan di penghujung permainan.
"Beberapa pemain bermain seakan-akan dalam perlawanan terbaik dalam hidup mereka. Saya sangat gembira,” kata pertahanan Arsenal, Leah Williamson, kepada TNT Sports selepas berjaya mengekang ancaman penyerang Barcelona, Ewa Pajor.
"Separuh masa pertama kami cipta beberapa peluang dan saya rasa orang tidak percaya betapa bagusnya kami. Kami hanya katakan, ‘Separuh masa kedua kita cuma perlukan satu peluang’ dan Stina manfaatkannya sepenuhnya," katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Arsenal, Renee Slegers, hampir menitiskan air mata dan berkata beliau bangga dengan semangat juang yang ditunjukkan anak buahnya untuk mengekang tekanan Barcelona sepanjang separuh masa kedua.
"Bila anda sebuah pasukan yang mahu menang, anda akan berjuang bersama, menderita bersama dan cari jalan untuk menang.
"Dalam saat-saat kritikal dan penuh tekanan, kami berjaya melakukannya musim ini," katanya.