BUKAN sekadar corak permainan, skuad bola sepak negara memerlukan tonik tambahan menerusi kekuatan dan kepantasan para pemain untuk pergi jauh di pentas antarabangsa termasuk menundukkan Vietnam.
Ramuan tersebut dikongsi perunding kecergasan, Iskandar Salleh yang berpandangan, melalui kecergasan dan kelajuan skuad Harimau Malaya mampu mengulangi kejayaan dua kali berturut-turut layak ke Piala Asia 2027.
"Kekuatan disulami dengan empat elemen, manakala kelajuan pula dikategorikan kepada lima perkara,” katanya kepada Sukan Sinar.
Skuad bimbingan Peter Cklamovski pada Mac lalu bermula dengan langkah kanan pabila menumpaskan Nepal 2-0 dalam aksi pertama Kumpulan F Pusingan Kelayakan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dan bakal menguji Vietnam bulan depan.
Iskandar yang juga bekas pemain ragbi negara berkata, kelajuan dalam bola sepak bukan hanya tentang larian pantas, tetapi bagaimana pemain menggunakan gabungan lima elemen untuk menjadi lebih efektif di padang.
Ditambah pula katanya, potensi pemain untuk mengoptimumkan keupayaan membuat hantaran, melakukan cubaan, melompat dan memecut, selain mencegah risiko kecederaan serta melalui proses pemulihan yang cepat selepas perlawanan atau kecederaan.
"Taktikal dan corak permainan terserah kepada kebijaksanaan jurulatih. Apapun apabila sudah fit, nak main gaya apa pun tiada masalah,” katanya.
Cklamovski sebelum ini menegaskan bahawa kem latihan di Johor Bahru ketika ini merupakan fasa kritikal dan menjadi aspek utama dalam membentuk strategi yang mantap bagi menghadapi aksi kompetitif tersebut.
Skuad Harimau Malaya akan menentang Cape Verde yang berada di ranking ke-72 dunia dalam aksi persahabatan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei.
Ia kemudian disusuli perlawanan latihan secara tertutup tanpa penonton di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 3 Jun.
Diikuti perhitungan dengan Vietnam dalam aksi kedua Kumpulan F Pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Bukit Jalil seminggu kemudian.
INFO
Strength dan conditioning
Kekuatan fizikal serta keupayaan untuk mengulangi sesuatu pergerakan sepanjang perlawanan.
1. Kekuatan fizikal melibatkan kemampuan untuk bertahan daripada asakan lawan dan mengekalkan keseimbangan agar sukar dijatuhkan oleh pemain lawan.
2. Daya tahan (stamina) pula melibatkan keupayaan untuk bermain dengan intensiti tinggi sepanjang perlawanan tanpa cepat letih.
3. 'Pertarungan' iaitu kelebihan pemain untuk memenangi perebutan bola, sama ada dalam situasi satu lawan satu, bola tinggi atau perlanggaran fizikal.
4. Kekuatan mental pula melibatkan keupayaan untuk kekal fokus, tenang dan bersemangat walaupun dalam situasi sukar atau tekanan tinggi.
Lima eleman kelajuan
1. Maximal speed (kelajuan maksimum) - kepantasan tertinggi yang boleh dicapai oleh pemain dalam larian lurus dalam jarak jauh.
2. Agility (kelincahan) - keupayaan untuk mengubah arah dengan pantas sambil mengekalkan keseimbangan dan kawalan bola.
3. Sprint ability (keupayaan pecutan berulang) - kemampuan pemain untuk melakukan pecutan berulang kali sepanjang perlawanan tanpa kehilangan tenaga, kelajuan atau intensiti.
4. Acceleration dan deceleration (pecutan serta nyahpecutan) - keupayaan untuk mencapai kelajuan maksimum dalam masa yang singkat dan kemampuan untuk memperlahankan kelajuan dengan cepat dan bersedia untuk melakukan perubahan pergerakan.
5. Reaction (reaksi) - berupaya untuk bertindak balas dengan cepat terhadap situasi di padang, seperti bola muntah, pergerakan lawan, atau perubahan arah bola.