KUALA LUMPUR - Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah, akan berlepas ke Malaysia pada Ahad bagi mengetuai delegasi negara itu ke Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China di Kuala Lumpur.
Menurut Agensi Berita Kuwait (KUNA), beliau mewakili Amir Kuwait Sheikh Meshal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, ke mesyuarat peringkat tinggi itu.
Iklan
Iklan
Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema 'Keterangkuman dan Kemampanan' akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan, bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 26 dan 27 Mei ini.
Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang dijadual pada 27 Mei, serentak dengan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC, menjadi platform penting bagi memperluas kerjasama serantau dan antara rantau.
Sidang-sidang kemuncak itu dijangka menumpukan kepada pengukuhan kerjasama antara negara anggota GCC dan ASEAN, selain mempererat hubungan dengan China dalam bidang utama seperti perdagangan, pelaburan dan keselamatan serantau. - Bernama