GOMBAK - Seramai 800 peserta menyertai program The Agenda for the Next Generation yang disampaikan oleh Pengasas Bayyinah Institute, Nouman Ali Khan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada Khamis.
Pendakwah terkenal ini menyeru umat Islam agar lebih sedar akan tanggungjawab besar yang dipikul dalam menghadapi dunia yang sedang berubah dengan begitu pantas.
Beliau turut menekankan betapa pentingnya menjadikan al-Quran sebagai panduan utama dalam setiap aspek kehidupan.
Nouman berkata, manusia kini hidup dalam keadaan yang tidak pernah statik. Perubahan dari segi teknologi, gaya hidup, pemikiran dan norma sosial berlaku dengan begitu pantas sehingga ramai umat Islam tercicir daripada arus ini.
"Umat Islam tidak seharusnya hanya menjadi pengikut perubahan, sebaliknya perlu tampil sebagai peneraju dengan berteraskan panduan yang kekal relevan sepanjang zaman iaitu al-Quran.
"Jika kita tidak membentuk generasi akan datang secara aktif, dunia luar yang akan membentuk mereka bagi pihak kita," tegasnya penuh semangat.
Nouman turut menyeru setiap hadirin agar merenung sedalamnya agenda besar umat yang bukan sekadar untuk terus bertahan, tetapi untuk bangkit membimbing dan memimpin arus perubahan demi kebaikan sejagat.
Beliau mengajak para ibu bapa, pendidik, pelajar, pemimpin komuniti dan juga remaja sendiri untuk melihat peranan mereka bukan sebagai beban, tetapi sebagai amanah.
"Jangan hanya mengeluh tentang generasi muda. Jadikan mereka yang ingin menjadi insan yang lebih baik," ujarnya sambil mengingatkan bahawa perubahan tidak akan lahir hanya melalui kritikan, tetapi melalui tindakan dipandu kasih sayang dan hikmah.
Pada masa sama, Nouman menyeru agar generasi Islam baharu dibina dengan kecekalan akidah, keindahan akhlak dan kecerdasan fikiran supaya mereka mampu bertahan, bijak dan tenang.
"Jika Islam ditampilkan sebagai satu beban, generasi akan datang akan menjauhinya. Tetapi jika Islam disampaikan sebagai cahaya dan petunjuk kehidupan, mereka akan menerimanya dengan hati terbuka.
"Memetik ayat 8 dalam Surah al-Qalam, ALLAH SWT menyuruh kita tidak mengikuti golongan orang berdusta. Mengikut bukan semata-mata taat, tetapi termasuk membiarkan mereka mempengaruhi cara fikir, emosi dan prinsip kita," katanya lagi.
Sesi program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan orang ramai dengan ramai peserta mengambil peluang untuk bertanya dalam sesi soal jawab di penghujung program.
Turut hadir isteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datin Setia Nik Roslini Raja Ismail; Ketua Pegawai Digital UIAM, Datuk Dr Norbik Bashah Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff.
Kehadiran Nouman Ali Khan dalam memberi pengisian The Agenda for the Next Generation anjuran UIAM, Bayyinah Institute dan WUIF adalah antara acara menuju program World #QuranConvention 2025.
Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai program bertaraf antarabangsa ini pada 13 Disember 2025 dengan mendaftar di https://ezy.la/WQC2025.