SHAH ALAM - Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai seorang wanita mualaf yang tular selepas meluahkan hasrat untuk keluar daripada Islam kerana didakwa tidak menerima bantuan dan dianiaya suami diminta berhubung dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
MAIS memaklumkan, tiada maklumat yang lengkap dan jelas di dalam video tular terbabit menyebabkan kesukaran untuk mengesan wanita berkenaan.
Iklan
Iklan
"MAIS menyeru kepada orang ramai, jika ada yang mengenali wanita ini agar segera tampil memberikan maklumat kepada MAIS.
"Jika wanita berkenaan berada di negeri lain maklumat beliau dapat kami salurkan ke agensi agama negeri tersebut.
"Sepanjang tahun lalu, MAIS telah mendaftarkan seramai 1,875 mualaf di Selangor dan kebajikan mereka terutama pendidikan, ekonomi dan sosial sentiasa dibantu melalui agensi MAIS iaitu Lembaga Zakat Selangor (LZS).
"Sebarang maklumat boleh dihubungi di talian 03-3361 4009/4012 atau melalui emel pro@mais.gov.my,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, tular video mengenai seorang wanita mualaf yang mendakwa gagal mendapatkan bantuan termasuk daripada pihak masjid dan pusat zakat selepas ditinggalkan suaminya, selain terpaksa menerima bantuan daripada gereja.
Menurut video tersebut, wanita yang kini hamil itu turut menyatakan ketidakpuasan hati dan meluahkan hasrat untuk keluar daripada agama Islam disebabkan kesukaran yang dihadapi.