JOHOR BAHRU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah memulakan persiapan awal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) menerusi pelbagai program latihan dan pemerkasaan jentera parti.
Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata, persiapan itu turut melibatkan perancangan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka lebih awal dari PRU.
"Antara inisiatif utama adalah program latihan yang dijenamakan sebagai ‘Run to Win’ dengan matlamat memperkukuhkan idealisme, kemahiran komunikasi, penguasaan data serta keyakinan calon wanita.
"Kita bukan hanya latih bakat tetapi persiapkan sosok calon yang benar-benar mampu menguasai hati pengundi. Calon perlu diberi keyakinan dan dibantu dari segi persiapan dana,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kongres Nasional Tahunan Wanita PKR di Pusat Konvensyen Danga Bay di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Timbalan Ketua Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli.
Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan berkata, parti turut menubuhkan Tabung 30WReps melibatkan dana permulaan RM50,000 bagi membantu calon wanita yang akan bertanding pada PRN Sabah dan PRU akan datang.
"Inisiatif ini penting kerana isu dana merupakan cabaran besar kepada calon wanita. Tabung ini ‘membuka jalan’ untuk mereka lebih fokus kepada gerak kerja dan kemenangan,” ujarnya.
Beliau turut menyentuh usaha mencungkil bakat baharu melalui Sekolah Wanita Keadilan (SWAN) yang akan diperluaskan ke seluruh negara mengikut zon.
"Kita akan kembangkan sekolah ini mengikut zon dan seterusnya ke peringkat negeri. Ini akan membantu mengenal pasti lebih banyak potensi wanita untuk diketengahkan sebagai pemimpin,” katanya.
Mengulas mengenai Johor, Fadhlina menyifatkan negeri itu sebagai medan penting bagi PKR dan Pakatan Harapan (PH) untuk mengukuhkan pengaruh.
"Kita menang tujuh kerusi Parlimen di Johor dengan kerjasama rakan-rakan dalam PH. Johor bukan sekadar lokasi program, ia adalah koridor kuasa yang penting dalam kemenangan PRU,” tambahnya.