KOTA BHARU - Seorang lagi individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes simbah asid terhadap seorang pengusaha spa wanita di Beris Kubur Besar, Bachok minggu lalu.
Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan kira-kira jam 4 petang semalam ketika berada di sebuah kilang getah di Kuala Krai.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaludin berkata, suspek bekerja sebagai pekerja di kilang berkenaan dan merupakan rakan kepada wanita yang disyaki sebagai suspek utama dalam kejadian tersebut.
"Dia kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.
Pada Rabu lalu, seorang wanita berusia 38 tahun ditahan di lokasi sama iaitu di hadapan kilang getah berkenaan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok.
Tangkapan dibuat bagi membantu siasatan terhadap insiden yang menyebabkan mangsa, Nor Faziera Muda, 27, mengalami kecederaan serius.
Dalam kejadian pada Sabtu lalu, mangsa yang juga pemilik sebuah spa dan salun kecantikan disimbah asid oleh individu tidak dikenali menyebabkan dia terpaksa menjalani beberapa siri pembedahan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian.
Suaminya, Muhammad Syahrul Ikhwan Seri Buana, 33, memaklumkan bahawa isterinya kini berada dalam keadaan stabil dan akan menjalani pembedahan ketiga bagi mengeluarkan sisa cecair asid daripada badannya.