Kejayaan bukan hanya diukur berdasarkan piala - Arteta

Iklan
Arteta (kiri) ucap tahniah kepada pengendali Tottenham, Ange Postecoglou. Foto Agensi

PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta mengucapkan tahniah kepada seteru setempat, Tottenham Hotspur atas kejayaan menjuarai Liga Europa pada Khamis.

Namun bekas penolong Pep Guardiola di Manchester City menegaskan bahawa kejayaan sesebuah pasukan tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan jumlah trofi yang dimenangi dalam satu musim.

Iklan
Iklan

Sebagai rekod, The Lillywhites yang menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga ke-17 mencipta kejutan dengan menamatkan musim suram mereka dengan sebuah trofi Eropah.

Sebaliknya Arsenal yang kini menghuni tangga kedua di belakang juara Liverpool pula menamatkan musim tanpa sebarang kejuaraan.

Iklan

"Mereka adalah juara Liga Europa dan untuk mencapai tahap itu, banyak perkara perlu dilakukan dengan betul.

"Saya rasa mereka melalui musim yang penuh rintangan dan kesukaran. Namun akhirnya, mereka mendapat satu detik yang indah," kata Arteta.

Iklan

Namun, apabila ditanya dalam sidang media pada Khamis mengenai pasukan mana antara Arsenal atau Tottenham yang menikmati musim lebih berjaya, Arteta enggan membuat perbandingan secara langsung.

"Saya tidak suka membandingkan dengan pasukan lain. Tugas saya adalah untuk menganalisis pasukan saya sendiri," kata pengendali kelahiran Sepanyol itu yang membimbing Arsenal mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara sebelum disingkirkan gergasi Ligue 1 Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) awal bulan ini.

Jelas Arteta lagi, sesebuah pasukan tidak boleh diadili semata-mata berdasarkan jumlah piala yang dimenangi dalam satu musim, dengan mengambil contoh The Gunners yang tidak pernah menjuarai Liga Juara-Juara dan kali terakhir menjulang trofi EPL adalah pada musim 2003-04.

"Kalau itu menjadi ukuran, maka selama 20 tahun ini kami telah gagal dalam Liga Perdana Inggeri, dan sepanjang sejarah pula kami gagal dalam Liga Juara-Juara.

"Siapakah kami sebenarnya? Di mana nilai jenama kami, kelab kami... di mana nilai kami, gaya permainan kami? Bagaimana pula dengan detik-detik indah yang kami kongsi bersama penyokong kami?," tegas pengendali kelahiran Sepanyol itu.

Pada masa sama Arteta turut melaungkan tekad bahawa Arsenal kini bermotivasi tinggi untuk menamatkan musim ini dengan rekod pertahanan terbaik dalam saingan EPL, setelah hanya melepaskan 33 gol setakat ini, tujuh kurang daripada Liverpool.

"Kami mahu mengutip sebanyak mungkin mata. Kami masih berusaha untuk mencapai rekod pertahanan terbaik... dan menamatkan musim dengan cara yang positif," katanya.

LIGA PERDANA INGGERIS

AHAD (25 MEI)

Bournemouth lwn Leicester City

Fulham lwn Manchester City

Wolverhampton lwn Brentford

Nottingham Forest lwn Chelsea

Manchester United lwn Aston Villa

Newcastle United lwn Everton

Liverpool lwn Crystal Palace

Ipswich Town lwn West Ham United

Tottenham Hotspur lwn Brighton and Hove Albion

*Semua perlawanan bermula jam 11 malam