Datuk antara direman kemuka tuntutan palsu

Iklan
SPRM menahan reman seorang pengarah urusan syarikat bergelar Datuk dan dua individu bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM48,000 kepada sebuah agensi pasukan keselamatan.

ALOR SETAR - Seorang pengarah urusan syarikat bergelar Datuk bersama dua lagi individu direman dua hari bermula Khamis bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM48,000 kepada sebuah agensi pasukan keselamatan.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, kesemua suspek berusia 50-an yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita ditahan sekitar jam 4 hingga 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah di sini.

Iklan
Iklan

"Suspek utama disyaki melakukan perbuatan berkenaan antara 2020 hingga 2023 yang melibatkan tuntutan pembekalan makanan mentah, basah dan kering berjumlah kira-kira RM48,000 kepada pasukan keselamatan yang menjalankan penugasan kawalan di pos barisan hadapan.

"Turut ditahan dua kakitangan syarikat pembekal yang disyaki bersubahat dengan suspek utama dalam menyediakan dan mengemukakan dokumen tuntutan yang dipercayai tiada pembekalan dilakukan,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Ahmad Nizam Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. - Bernama

Iklan