Azam Baki dilantik Professor Of Practice AeU

Iklan
Azam (dua dari kanan) dilantik Professor Of Practice AeU sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dan AeU di Kampus AeU, Subang Jaya pada Khamis.

SHAH ALAM - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dianugerahkan Professor of Practice Asia e University (AeU) sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dan AeU di Kampus AeU, Subang Jaya pada Khamis.

Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata, penganugerahan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM sebagai Professor of Practice AeU dan pemeteraian MoU itu akan membuka ruang kepada kerjasama baharu dalam aspek pencegahan rasuah.

Iklan
Iklan

"Tujuan kerjasama tersebut diadakan untuk melahirkan pegawai-pegawai SPRM berpendidikan tinggi melalui program Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL.Q), sekali gus memainkan peranan penting dalam sektor pendidikan dan pelaksanaan polisi antirasuah.

"Program APEL.Q merupakan program yang mengiktiraf pengalaman pegawai dalam kerjaya untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana Muda, Sarjana dan Kedoktoran dalam tempoh lebih singkat iaitu 12 hingga 18 bulan," katanya.

Iklan

Terdahulu, penganugerahan Professor of Practice kepada Azam disampaikan Pengerusi Lembaga Pengarah AeU, Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr Syed Jalaludin Syed Salim.

Ia sebagai pengiktirafan terhadap Azam yang memiliki lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang integriti, selain memacu SPRM untuk mencapai misi dan visinya melalui kepimpinan berintegriti serta komitmen terhadap keadilan.

Iklan

Dalam ucapannya, Azam turut merakamkan setinggi penghargaan atas pengiktirafan diterima khususnya dan kepada SPRM amnya.

Pada majlis sama, Azam dan Presiden AeU, Profesor Datuk Dr Ansary Ahmed turut menyaksikan majlis MoU ditandatangani SPRM diwakili Mohd Hafaz, manakala AeU diwakili Naib Canselornya, Profesor Dr Noor Raihan Ab Hamid.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengelola AeU, Profesor Datuk Dr Husaini Omar; Timbalan Presiden AeU, Profesor Dr Hairuddin Harun; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman; Pengarah-pengarah Kanan, Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri SPRM.

Sementara itu, Ansary berkata, kepimpinan Azam yang teguh, berpengalaman luas, berkomitmen tinggi dan usaha tanpa henti dalam meningkatkan integriti perkhidmatan awam menjadi panduan serta inspirasi kepada kakitangan dan pelajar-pelajar AeU.

"Kerjasama terjalin bukan sebagai simbolik semata-mata, malah ia dilaksanakan atas nilai-nilai etika kepimpinan, tadbir urus baik, berintegriti dan cemerlang dalam pendidikan,” ujarnya.

Beliau menambah, MoU antara SPRM dan AeU tersebut dilaksanakan hasil kunjungan hormat universiti itu terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 24 September tahun lalu.